Isu Karpal: Mengapa Melatah, Jika Sekadar Pandangan Semata-Mata !
Seluruh negara kini dikecohkan dengan isu Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh menghina Sultan. Ini berikutan tindakan Karpal yang dikatakan mempertikaikan campurtangan Sultan Perak terhadap pentadbiran kerajaan negeri dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Jamry Sury baru-baru ini.
Isu ini hangat diperkatakan, sehingga setakat hari ini sudah tiga laporan polis dibuat oleh pihak kerajaan terhadap Karpal. Sememangnya begitu bergegar politik negara dengan isu seperti ini. Tambahan pula, pihak kerajaan kini sememangnya sedang mencari-cari isu sensitif untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat. Mereka mahu rakyat, terutamanya orang-orang Melayu sedar akan kesilapan mereka memberikan kuasa kepada pembangkang dalam pilihanraya umum ke-12 lalu.
Apa yang lebih menggusarkan kita ialah sikap kerajaan yang kini beriya-iya benar memainkan isu perkauman dalam hal ketuanan Melayu. Rata-rata NGO yang berpihak kepada kerajaan kini kononnya sudah hilang keyakinan terhadap parti pembangkang dalam isu ketuanan Melayu. Mereka mengganggap kemenangan besar Pakatan Rakyat dibeberapa buah negeri baru-baru ini bakal menjerumuskan bangsa Melayu ke lembah kehinaan. Banyak isu yang dimainkan bagi meraih serta menagih simpati orang-orang Melayu. Antara isu yang paling panas sejak 100 hari kemenangan Pakatan Rakyat itu ialah isu DEB yang membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Kemudian isu Lim Kit Siang yang mengarahkan ADUN DAP Perak memboikot majlis angkat sumpah. Selepas itu timbul pula isu Babi di Selangor, dan kini timbul lagi isu penghinaan terhadap Sultan yang membabitkan Karpal Singh.
Maka, mendabik dadalah Pemuda UMNO, GPMS serta lain-lain NGO kononnya ingin membela dan mempertahankan bangsa Melayu. Baru kini mereka sedar yang nasib bangsa Melayu itu perlu dibela. Sedangkan setelah 50 tahun memerintah negara ini, nasib bangsa Melayu terbiar dan tidak terbela. Kaum lain memonopoli ekonomi. Sedangkan orang-orang Melayu hanya layak untuk menjaga harta kaum lain. Orang Melayu hanya layak menjadi anggota polis dan tentera untuk menjaga keamanan dan harta kaum lain. Orang Melayu hanya layak menjaga kebersihan negara. Memang dapat kita lihat kebanyakan pekerja pembersihan bandar, penjaga tandas dan lain-lain lagi hanya orang Melayu yang terpaksa melakukan kerja itu. Berapa ramai kaum lain yang menjadi polis dan tentera? Apakah UMNO dan kerajaan sedar perkara ini. Orang Melayu hanya layak menjadi penganggur setelah menamatkan pengajian di mana-mana pusat pengajian tinggi di tanahair. Anak orang-orang Melayu hanya popular dengan isu Mat Rempit, penagih dadah di pusat serenti, pergaulan bebas serta gejala-geejala sosial yang lain. Malahan orang Melayu juga kini sudah berani Murtad gara-gara pemimpin UMNO yang kononnya mendabik dada untuk membela orang Melayu. Apakah mereka sedar akan semua ini, atau sengaja buat-buat buta?
Dalam isu sultan dan raja-raja Melayu pula, masihkah kita ingat pemimpin UMNO lah yang mempertikaikan imuni raja-raja Melayu. Bahkan yang terbaru juga isu perlantikan Menteri Besar di negeri Melayu Perlis dan Trengganu. Perlantikan sudah diperkenankan dan watikah sudah dikeluarkan oleh sultan negeri terbabit, masihkah kita ingat Pak Lah tidak merestui (Menghina) apabila mengeluarkan watikah lain untuk melantik MB pilihannya iaitu Shahidan Kassim dan Idris Jusoh. Kes ini akhirnya menyebabkan orang Melayu menyokong BN, dan memperlekehkan kuasa sultan. Maka akhirnya mereka berhimpun dan menyatakan kemarahan atas perkara ini. Hingga akhirnya mencetuskan pergaduhan serta timbullah kain rentang UMNO yang berbunyi "Kami Nok Idris Natang !!" yang ditujukan kepada sultan negeri terbabit yang juga merupakan Duli Yang Maha Mulis Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Bukankah pemimpin mereka yang mahu penyokongnya menghina sultann Trengganu dengan gelaran "Natang @ Binatang", tetapi hingga ke hari ini mereka tidak didakwa atau disabitkan dengan pertuduhan. Sepatutnya orang-orang seperti Pak Lah, Shahidan Kassim, Idris Jusoh serta kroni-kroninya boleh dituduh menghina kerana mereka juga mempertikaikan perlantikkan MB baru negeri masing-masing. Walhal watikah delah dikeluarkan dan dipersetujui oleh sultan (MPPR) negeri terbabit. Bukankah kes ini lebih besar dari isu Karpal sebenarnya.Tetapi, kenapa dalam isu pemimpin UMNO dan BN mereka mendiamkan diri serta membisu seribu bahasa. Jangankan UMNO, malahan NGO seperti GPMS dan lain-lain yang kononnya memperjuangkan hak kedaulatan orang Melayu semuanya "menikus", tidak berani untuk tampil. Bahkan tidak ada seorang pun dikalangan mereka yang membuat laporan polis seperti yang berlaku kepada Karpal. Pak Lah pun sebenarnya boleh dituduh menghina Sultan kerana secara terang-terang mempertikaikan kuasa sultan untuk melantik MB pilihan mereka. Bukankah ini lebih hina sebenarnya. Sedangkan, apa yang berlaku kepada Karpal ialah beliau sekadar memberi pandangan semata-mata, supaya istana tidak mencampuri urusan kerajaan negeri. Lagipun Pengarah JAIP itu bukannya dipecat, cuma beliau ditukarkan sahaja. Memang logikk dan masuk akal tindakan MB Perak berbuat demikian setelah mendapati Jamry Jury tidak mahu berkerjasama dengan kerajaan negeri. Bukankah ianya akan mencacatkan sebarang agenda kerajaan jika terdapat penentangan dari dalam terutamanya dalam isu-isu yang membabitkan agama di negeri terbabit sedikit hari lagi. Maka, adalah lebih elok Jamry ditukarkan ke jabatan lain, demi menjaga keharmonian semua pihak.
Masalahnya disini ialah, UMNO dan BN tidak dapat menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri baru pimpinan Pakatan Rakyat sebenarnya. Lantaran itulah setiap usaha yang dilakukan, biarpun untuk kebaikan pasti akan ditentang habis-habisan oleh mereka. Dalam isu Pengarah JAIP ini, sebenarnya ianya adalah isu terpencil yang membabitkan pihak kerajaan negeri dengan istana. Pertukaran adalah perkara biasa dalam perntadbiran kerajaan. Ini bukan soal pemecatan. Perkara ini berlaku dimana-mana termasuk di negeri Pahang ini, Ustaz Yusof Embong seorang guru agama telah ditukarkan ke Sabah gara-gara dikatakan menyokong PAS dalam pilihanraya dulu. Kemudian terbaru difahamkan seorang Komander Angkatan Tentera Malaysia dari Kem Tanjung Gelang, Kuantan dikatakan telah ditukar serta merta apabila "Post-Mortem" yang dilakukan mendapati undi pos tentera dikawasan terbabit hampir 90% berpihak kepada PAS. Akibatnya BN kehilangan kerusi DUN Beserah kepada PAS dan Parlimen Indera Mahkota kepada PKR dalam pilihanraya umum baru-baru ini. Walhal, kalau nak diikutkan komander terbabit tidak bersalah sebenarnya. Namun hanya kerana beliau tidak memantau undi pos akhirnya beliau menjadi mangsa kepada kerajaan BN di Pahang. Bukankah ini sesuatu yang normal dan tidak perlulah diperbesar-besarkan.
Lantaran itulah, sebagai seorang ahli politik veteran dalam parlimen Karpal memberi pandangan peribadi beliau supaya pihak istana tidak mencampuri urusan pertukaran berkenaan. Ini mungkin Karpal percaya ada tangan-tangan lain yang memaksa pihak istana masuk campur dalam isu ini. Maka mengapakah kita harus melatah jika ia sekadar pandangan semata-mata. Isu ini hanya diperbesar-besarkan oleh UMNO bagi menarik balik sokongan orang Melayu kononnya Pakatan Rakyat telah berkerjasama dengan orang yang akan menghapuskan ketuanan Melayu. Bukankah janggal bunyi itu. Apapun kita masih menantikan maklumat terkini apakah Karpal akan ditangkap dan didakwa di mahkamah atau mungkin juga beliau akan di ISA jika penggunaan Akta Hasutan dikenakan ke atas pemimpin kanan DAP itu. Semuanya bakal terjawab dalam masa terdekat apabila Peguam Negara turut masuk campur setelah banyak laporan polis yang dibuat oleh penyokong kerajaan dalam isu ini.
Comments